Thursday, April 2, 2009

Serah kuasa: PM, Najib jumpa Agong

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini untuk menyerahkan surat peletakan jawatan mengikut pelan peralihan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak.

Abdullah tiba di Istana Negara pada jam 10 pagi untuk menghadap Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Seri Paduka dilihat tiba di istana 10 minit lebih awal. Pada jam 10.50 pagi, Abdullah masih berada di dalam Istana Negara.

Seorang pegawai kerajaan berkata Abdullah "akan memaklumkan kepada Seri Paduka hasratnya untuk meletakkan jawatan serta memaklum bahawa Najib sudah bersedia untuk memegang jawatan perdana menteri".

"Terserah kepada Tuanku," kata Abdullah kepada pemberita selepas majlis hampir satu jam itu.

Sebelum itu, Abdullah tiba dengan menaiki Proton Perdana rasminya bernombor WCH 13 dan meninggalkan kawasan istana satu jam kemudian sambil melambai-lambai ke arah sekumpulan 70 petugas media termasuk wartawan asing yang berkumpul di situ sejak 7.30 pagi.

Ia juga menarik perhatian pelancong asing yang turut berada di situ.

Najib sebelum ini memberitahu pemberita bahawa beliau akan mengangkat sumpah bagi memenuhi pelan penyerahan kuasa ekoran kekalahan teruk BN dalam pilihanraya umum tahun lalu.

Abdullah pula akan menghadiri satu majlis di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, dipercayai majlis perpisahan untuknya pada jam 3 petang ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Najib pula tiba di Istana Negara untuk menghadap Seri Paduka kira-kira setengah jam selepas Abdullah meninggalkan istana.

Selepas mengadakan pertemuan dengan Seri Paduka kira-kira 45 minit, Najib meninggalkan istana tanpa mengambil sebarang soalan daripada pemberita mengenai pertemuan empat mata mereka.

"Terima kasih," katanya sambil tersenyum meninggalkan perkarangan istana dengan menaiki kenderaan Proton Perdana bernombor WRP 11 kira-kira 12.15 tengah hari, sambil melambai-lambai ke arah media.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan semalam berkata Yang di-Pertuan Agong perkenan supaya istiadat mengangkat sumpah jawatan Najib sebagai perdana menteri diadakan pada 10 pagi esok di Istana Negara.

(Sumber: Malaysia Kini)

No comments:

Post a Comment