Jamaluddin Jarjis dan 2 orang lagi Pahang terajui Majlis Tertinggi UMNO yang diketuai oleh Perdana Menteri sendiri
RAKYAT Pahang pastinya paling gembira kerana Datuk Seri Najib Tun Razak sudah dimuktamadkan sebagai Presiden UMNO ketujuh. Ia bererti Perdana Menteri keenam adalah dari kalangan orang Pahang.
Selain Najib yang menerajui parti keramat orang Melayu itu sebagai Presiden, UMNO Pahang juga bertuah apabila tiga daripada calonnya berjaya berada dalam senarai 25 ahli Majlis Tertinggi (MT).
Mereka adalah Ketua Bahagian Bera, Datuk Ismail Sabri Yaakob (1,838 undi); Ketua Bahagian Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (1,622 undi) dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah (1,619 undi).
Walaupun Perak berjaya memenangi empat kerusi, namun jika dirujuk kepada konsep 'rakyat, parti dan kerajaan' kemenangan tiga MT Pahang mungkin lebih tinggi sedikit hierarkinya berbanding Perak yang pernah tumbang kepada pembangkang pada pilihan raya umum lalu.
Dalam diam, keunikan UMNO Pahang memang menyerlah. Berdasarkan perkiraan itu juga, maka tidak hairanlah mengapa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob masih mampu tersenyum lebar selepas dua kali percubaannya ke jawatan tertinggi UMNO itu tewas.
Ketika ditemui penulis, sebaik diumumkan keputusan MT itu, dengan nada penuh mesra dan ceria Adnan berkata, lebih penting untuk beliau menangisi nasib diri jika tewas pada pilihan raya berbanding sedih akibat kalah pada pemilihan MT. Selain persaingan untuk kerusi MT, UMNO Pahang juga terserlah dengan persaingan sulong calon negeri itu untuk merebut kerusi nombor satu Pergerakan Puteri UMNO iaitu oleh Datuk Shahaniza Shamsudin.
Walaupun tewas, namun kemampuannya menyaingi calon yang sebelum ini merupakan Naib Ketua Puteri dengan kekalahan tipis enam undi, jelas membuktikan karisma dan potensi politik amat cerah bagi Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul itu.
Walau apa pun perkiraannya, UMNO Pahang juga wajar menyusun kembali saf kepimpinan sebagaimana yang dihasratkan oleh Najib supaya saf padu kepimpinan dibentuk bagi memenuhi kehendak rakyat, parti dan kerajaan. Negeri yang mempunyai dua juta penduduk dan 230,000 ahli UMNO itu mungkin lebih mantap dan padu menyambut kepulangan Perdana Menteri keenam dengan saf kepimpinan yang berteraskan kepentingan 'rakyat, parti dan kerajaan'.
Faktor senioriti dan pengalaman semata-mata, tidak boleh lagi dijadikan kayu ukur menentukan kedudukan seseorang dalam parti dan kerajaan kerana aspirasi Najib amat mengutamakan rakyat untuk perkasakan parti dan kerajaan.
Individu yang sudah ditolak pada peringkat bahagian seperti gagal merebut jawatan ketua bahagian umpamanya sewajarnya tidak terus diletakkan dalam barisan hadapan pentadbiran negeri supaya isyarat yang telah diberikan oleh ahli di akar umbi pada setiap pemilihan, tidak diperlekehkan.
Datuk Shahrir Abdul Samad bertegas meletakkan jawatan sebagai menteri kerana berpandangan tiada gunanya memegang jawatan jika majoriti ahli UMNO sudah tidak menyokong beliau.
Maka tidak mustahil jejak yang sama boleh dituruti pemimpin UMNO Pahang yang masih berada di barisan hadapan kerajaan negeri sedangkan mereka sudah ditolak di peringkat bahagian.
Semoga Adnan dapat terus menyusun dan merapatkan saf kepimpinannya yang selari dengan aspirasi rakyat dan ahli UMNO negeri itu bagi mendokong kepimpinan Ketua UMNO Bahagian Pekan selaku Presiden UMNO ketujuh.
(Sumber: Utusan)
No comments:
Post a Comment