Thursday, February 19, 2009

Parti Pemerintah Kazakhstan Minat Tingkatkan Hubungan Dengan Umno

Parti pemerintah Kazakhstan, Otan, berminat untuk meningkatkan hubungan dengan Umno dalam pelbagai bidang, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Jamaluddin Jarjis.

Jamaluddin Jarjis berkata lawatan Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev ke Malaysia baru-baru ini telah memupuk hubungan lebih erat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Otan tertarik dengan peranan Umno dalam memulihara keamanan dan kestabilan di Malaysia serta pembangunan negara keseluruhannya. Ia akan menandatangani satu perjanjian kerjasama dengan Umno malam ini," katanya.

Datuk Seri Dr Jamaludin Mohd Jarjis yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bercakap kepada pemberita demikian selepas menerima kunjungan pemangku pengerusi Otan, Bakytzhan Zhumagulov, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

"Zhumagulov berada di sini untuk menyaksikan perasmian perhimpunan agung Umno esok serta mempelajari bagaimana Umno menganjurkan acara penting seumpama ini," katanya.

Jamaludin Jarjis berkata Kazakhstan juga berminat untuk belajar daripada pengalaman Malaysia dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

"Saya akan melawat Kazakhstan tahun depan untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama ICT kedua-dua negara," kata Jamaludin Mohd Jarjis.

Sebelum itu, Malaysia akan menghantar satu rombongan teknikal ke Kazakhstan tahun depan untuk membina kerjasama dalam penyelidikan kejuruteraan, katanya.

No comments:

Post a Comment