Wednesday, February 25, 2009

Dalam Parlimen: Industri mesra alam

Soalan dalam Parlimen pada 24/2/2009 dan jawapan dari Kementerian berkenaan isu tenaga bentuk baru:

Datuk Seri Dr Jamaludin Mohd Jarjis [Rompin] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk membina industri mesra alam atau ‘green economy’ dan memberi insentif khas bagi menggalakkan perkembangan industri tersebut. Industri ini mempunyai potensi pasaran yang besar termasuklah antaranya industri bio-diesel, solar energy, wind turbines, renewable energy dan sebagainya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri I [Datuk Liew Vui Keong]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Rompin atas soalan mengenai ‘green economy’ ataupun industri mesra alam.

Tuan Yang di-Pertua, industri mesra alam seperti industri bio-diesel dan tenaga boleh diperbaharui, renewable energy, dengan izin merupakan industri yang dikenal pasti oleh kerajaan sebagai industri berpotensi yang wajar diperkembangkan. Kerajaan telah mengumumkan penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui sebagai sumber bahan api kelima di Malaysia selepas arang, minyak, gas asli dan hidro. Ia merangkumi tenaga yang boleh diperbaharui daripada biomass, solar, hidro mini dan bahan buangan kutipan sampah ataupun municipal waste. Tenaga yang boleh diperbaharui daripada biomass dan tenaga solar berpotensi menyumbang 90% tenaga yang boleh diperbaharui. Seperti Yang Berhormat sedia maklum, kerajaan juga telah melancarkan Small Renewable Energy Program pada tahun 2001 dan pada tahun 2006 pula kerajaan telah melancarkan Program Suria 1000 untuk menggiatkan penggunaan tenaga solar sebagai sumber alternatif.

Antara insentif-insentif yang telah disediakan oleh pihak kerajaan bagi mempromosikan industri mesra alam atau ‘green economy’ serta aktiviti-aktiviti berkaitan pengurusan alam sekitar adalah seperti berikut:-
(i) insentif cukai untuk penjimatan tenaga atau energy efficiency;
(ii) insentif cukai untuk penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui atau renewable energy;
(iii) insentif cukai bagi pengurangan gas rumah hijau;
(iv) insentif untuk menggalakkan penggunaan gas asli bagi kenderaan NGV;
(v) insentif untuk penyimpanan, perawatan dan pelupusan sisa toksik yang berbahaya; dan
(vi) insentif untuk aktiviti kitar semula sisa.

Insentif-insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan ini antara lain adalah dalam bentuk taraf perintis, elaun cukai pelaburan, pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan yang dibeli. Insentif-insentif yang disediakan ini juga adalah berbeza mengikut aktiviti-aktiviti berkaitan pengurusan alam sekitar yang dijalankan.Kerajaan juga telah meluluskan insentif baru bagi mengembangkan industri mesra alam dan menambah baik insentif sedia ada untuk memperluaskan penggunaan tenaga dalam Bajet 2009. Antaranya adalah seperti:-

(i) insentif bagi kereta hibrid;
(ii) insentif bagi memperluaskan penggunaan peralatan penjimatan tenaga, dan
(iii) insentif bagi memperluaskan penggunaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui seperti pengecualian duti import dan cukai jualan.

Itu sahaja. Sekian, Tuan Yang di-Pertua.

Datuk Jamaludin Jarjis [Rompin]: Terima kasih Datuk Timbalan Menteri.

Seorang Ahli: Marang.

Jamaludin Mohd Jarjis [Rompin]: Ha kalau saya tahu Yang Berhormat Marang tadi, saya boleh bagi Yang Berhormat Marang dahulu sebab...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, soalan Yang Berhormat.

Jamaludin Jarjis [Rompin]: Saya menghormati Ketua PAS pun kamu tak setuju, apa ini?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Saya yang putuskan Yang Berhormat Rompin.

Jamaluddin Jarjis [Rompin]: Apa ni. Saya hendak ucapkan terima kasih kepada jawapan tadi. Akan tetapi sekarang kalau kita lihat daripada segi suasana kemelesetan ekonomi di dunia, banyak negara-negara merangsang ekonomi mereka bukan sahaja merangsang ekonomi yang biasa tetapi juga merangsang ekonomi baru ini, ekonomi yang berasaskan mesra alam ini.

Seperti di Amerika baru-baru ini Obama memperuntukkan 20 bilion duit Amerika untuk merangsang ekonomi mesra alam ini. Mungkin di Malaysia tidak ada lah kepentingan yang besar. Adakah Yang Berhormat ingin mencadangkan mungkin bersama dengan MOSTI kepada kerajaan, kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Menteri sebagai Menteri Kewangan dalam mengeluarkan dan mengetengahkan mini bajet untuk merangsang ekonomi kita?

Adakah kementerian bercadang untuk mengadakan satu bentuk sumber kewangan? Ini disebabkan oleh dewasa ini kita tahu di Malaysia ada 5,000 saintis-saintis tempatan yang sepatutnya rakyat Malaysia berasa bangga dan mereka ini selalu mengeluh bahawa mereka tak ada pembiayaan kewangan, resource-resource mereka untuk membawa produk-produk yang boleh menjana eksport dan peluang pekerjaan. Adakah Yang Berhormat dan kementerian bercadang mengemukakan supaya mengadakan peruntukan untuk dana teroka branch capital? Ini kerana bank-bank biasa tidak mungkin hendak membiayai terutama sekarang ini, projek-projek mengkomersialkan hasil-hasil kajian 5,000 saintis tempatan di universiti kita di Malaysia. Terima kasih.

Datuk Liew Vui Keong: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Rompin. Saya setuju dengan pandangan Yang Berhormat di mana kerajaan baru Amerika Syarikat, Presiden Obama telah pun mengutamakan this green economy sebagai satu tujuan untuk meningkatkan peluang pekerjaan di Amerika, di mana negara mereka telah pun mengalami kemelesetan ekonomi. Inisiatif yang telah pun dilancarkan oleh Presiden Obama ialah dengan tujuan untuk memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat-rakyat mereka yang pada
masa ini...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Tak payah ulas banyak sangat Obama Yang Berhormat, negara kita dulu.

Datuk Liew Vui Keong: Ya. Jadi, cadangan yang telah pun diberikan oleh Yang Berhormat Rompin akan diambil maklum dan saya akan cuba mengambil peluang bekerjasama dengan pihak MOSTI untuk meninjau cadangan yang telah pun diberikan oleh Yang Berhormat Rompin. Sekian, terima kasih.


2 comments: